Monday 29 September 2014

       Pendidikan alam sekitar dapat didefinisikan sebagai satu bentuk pendidikan bagi menyelamatkan alam sekitar daripada terus dirosakkan. Hal ini penting bagi membendung kerosakan yang dilakukan oleh manusia terhadap alam sekitar. Antara kerosakan itu adalah mencemarkan air dan udara, menggunakan bahan yang sukar dilupuskan, menebang hutan tanpa kawalan, menarah tanah tinggi, serta menggunakan air dan tenaga elektrik yang berlebihan. Ancaman ini telah membuatkan pendidikan alam sekitar dilihat sebagai satu senjata ampuh yang mampu mengubah tingkah manusia kepada menyayangi alam sekitar daripada terus digunakan secara sewenang-wenangnya. Terdapat pelbagai langkah yang boleh dilakukan bagi menerapkan pendidikan alam sekitar di sekolah.

          Antaranya adalah dengan mengadakan kempen ‘Sayangi Alam Sekitar’. Bagi menguruskan kempen ini, maka Persatuan Alam Sekitar boleh bekerjasama dengan pihak sekolah bagi melicinkan perjalanan program yang dirancang. Antara program yang boleh dijalankan sepanjang kempen ini diadakan ialah pertandingan melukis poster, pertandingan mencipta dan mendeklamasikan puisi, pertandingan menulis esei, pertandingan pidato, syarahan dan debat, ceramah tentang kepentingan menjaga alam sekitar dan pelbagai lagi aktiviti yang boleh menarik minat pelajar. Kesemua aktiviti ini menjurus kepada satu matlamat, iaitu memupuk kesedaran tentang kepentingan menjaga alam sekitar. Tegasnya, kempen sebegini harus dilaksanakan secara berperingkat dan berterusan agar kesedaran yang ingin ditanam ranum di sukma mereka sebagai pemegang amanah kepada kelangsungan hijaunya alam sekitar.


          Selain itu, Kementerian Pelajaran perlu mengkaji keperluan mewujudkan mata pelajaran Pendidikan Alam Sekitar sebagai subjek elektif di sekolah. Hal ini disebabkan oleh sikap remaja masa kini yang memandang enteng akan kepentingan menjaga alam sekitar. Mereka juga kabur akan rasionalnya, di samping diburukkan lagi dengan sikap tidak bertanggungjawab terhadap alam sekitar. Bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan, Sains, dan Geografi yang telah memasukkan topik berkenaan alam sekitar, maka pengekalan perlu dilakukan. Seandainya cadangan mewujudkannya sebagai mata pelajaran elektif tidak dilaksanakan, maka sekurang-kurangnya kita sudah ada persediaan ke arah mengangani masalah pencemaran alam sekitar yang semakin meruncing. Ringkasnya, silibus tentang pendidikan alam sekitar perlu diwujudkan, tidak kiralah sebagai subjek tunggal mahupun sisipan memandangkan kepentingannya dalam jangka panjang.

          Di samping itu, pihak sekolah juga boleh mengadakan gotong-royong memghijaukan kawasan sekolah. Program penghijauan ini boleh dilakukan dengan menanam pokok-pokok di sekitar kawasan sekolah. Antara pokok-pokok yang boleh ditanam ialah pokok buah-buahan dan pokok perhiasan, seperti pokok bunga. Selain memcantikkan sekolah dan memberi hasil untuk dimakan, penanaman pokok ini sebenarnya telah membantu penambahan pengeluaran gas oksigen yang diperlukan oleh tubuh badan manusia. Program ini sebegini juga mampu mendidik remaja agar mengawal aktiviti penggondolan hutan secara berleluasa seperti yang didepani oleh dunia dewasa ini. Ringkasnya, aktiviti seperti ini sememangnya penting dalam mendidik tabiat sayang akan alam sekitar sejak di bangku sekolah kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya.
            Bukan itu sahaja, sekolah boleh mengenakan peraturan baru bagi penggunaan air dan elektrik di sekolah. Hal ini bertujuan bagi mengawal penggunaan elektrik dan air daripada terus dibazirkan. Penggunaan elektrik dan air yang tidak terkawal merupakan salah satu bentuk kerosakan terhadap alam sekitar. Hal ini demikian kerana penggunaan elektrik yang berlebihan telah membebaskan gas-gas beracun seperti monoksida yang mampu mengancam ekosistem dan kesihatan manusia juga. Sekolah boleh menggariskan beberapa peraturan seperti menutup lampu setiap jam8.30 pagi misalnya, kecuali pada hari hujan dan mendung. Kipas pula perlu dihentikan sekiranya pelajar tidak berada di dalam kelas, umpamanya pergi ke makmal dan ketika waktu rehat. Bagi memastikan pelaksanaan peraturan ini berjaya, maka pengawas perlu prihatin dan bertanggungjawab memantau dan memastikan lampu dan kipas telah dimatikan sebelum meninggalkan kelas. Jelasnya, tindakan sebegini bukan sahaja mampu menjimatkan penggunaan air dan elektrik tetapi dapat memupuk sikap berjimat cermat dalam kehidupan seharian kerana agama Islam menyifatkan pembaziran itu merupakan amalan syaitan.

        

            Malahan, Kementerian Sumber Asli boleh bekerjasama dengan Kementerian Pelajaran bagi menjalankan program kitar semula di sekolah. Walaupun program ini pernah diperkenalkan suatu tika dahulu, tetapi kali ini kerajaan perlu lebih proaktif. Sebagai contoh, kerajaan perlu menjelaskan konsep kitar semula dengan jelas, sama ada melalui media elektronik, media cetak, mahupun buku teks. Bahkan, kerajaan perlu melabelkan tong-tong kitar semula dengan perkataan, bukan lagi sekadar lambang dan simbol. Ternyata simbol yang terdapat pada setiap tong tidak banyak membantu kerana masih terdapat remaja, malah masyarakat yang keliru dan tersalah meletakkan bahan buangan ke dalam tong lain. Antara bahan buangan yang boleh dikitar semula di sekolah ialah, surat khabar, kertas, tin aluminium, botol minuman plastik, dan kaca. Hal ini secara tidak langsung menjimatkan sumber dan mengelakkan penerokaan serta penebangan hutan secara berleluasa.
         Seperti yang kita sedia maklum, remaja cukup sinonim dengan hiburan. Malahan, ada di antara mereka yang menjadikan artis popular sebagai idola. Sudah terang lagi bersuluh, atas dasar itulah kementerian perlu memanfaatkan situasi ini dengan sebaik mungkin. Sudah tiba masanya lagu kitar semula digubah dan dinyanyikan oleh artis popular tanah air. Lantaran itu, ceramah yang diadakan di sekolah boleh disampaikan oleh duta alam sekitar yang dilantik daripada kalangan artis. Meskipun begitu, artis yang dilantik perlu mempunyai ilmu dan minat yang mendalam terhadap pelestarian alam sekitar. Kita tidak mahu remaja hanya berhibur, sedangnya nilai kecintaan terhadap alam sekitar dikesampingkan. Sesungguhnya, kerajaan perlu mendapat pencerahan dalam memastikan pembenihan cinta akan alam sekitar dibugarkan dengan cara bilazim supaya pencambahan itu dapat dilakukan dengan lebih segar.
            Sebagai intiha, pelestarian alam sekitar sebenarnya bukan bermula di bangku sekolah, sebaliknya harus disemai, dibaja dan disiram di rumah. Lebih-lebih lagi, tidak mungkin kayu yang bengkok mampu menghasilkan bayang-bayang yang lurus. Atas dasar itu, ibu bapa perlu mencitrakan perlakuan yang boleh dijejaklangkahkan oleh anak-anak. Kerajaan dan guru hanya melengkapkan pengisian yang telah dicurahkan semasa anak-anak di rumah. Ingatlah, alam ini hanya pinjaman daripada generasi mendatang. Lantaran itu, seandainya semua pihak memainkan peranan masing-masing, tidak mustahil pencemaran alam sekitar hanya menjadi kenangan.


Monday 7 July 2014

from the best vlogger (matluthfi)

sangat mendalam maknenye...

minta beri tunjuk ajar.....

assalamualaikum wbt....alhamdulillah pada hari dan masa ini saya telah dapat create blog saya sendiri melalui pembelajaran rekabentuk komputer daripada En Jalal...terima kasih diucapkan kpd beliau....ok ckup setakat ni dlu....#newblogger

Arkib Blog Saya